mutakhir

'Awalnya ayah okay, emak pula susah nak terima' - Nur Nadhirah

Oleh Redzuan Muharam

Kangar: Perkenalan di tempat kerja membuka pintu hati Nur Nadhirah Roslee untuk mengenali pemuda warga Bangladesh, Mohammad Samim Hossain dengan lebih dekat.

Ditakdirkan, mereka jatuh cinta sebelum Nur Nadhirah 26, bernikah dengan Mohammad Samim, 25.

Mereka diijabkabulkan pada 29 Mei lalu di kampung halaman Mohammad Samim dekat Joypurhat, Bangladesh.

Menurut Nur Nadhirah, dia berkenalan dengan suaminya itu kira-kira empat tahun lalu kerana kebetulan bekerja di tempat yang sama iaitu sebuah kilang di Meru, Klang, Selangor.

Nur Nadhirah dari Kampung Nesam di sini, berkata, keserasian yang ada membuatkan hubungan mereka semakin rapat hingga timbul perasaan cinta.

"Ketika di satu tempat kerja, saya adalah penyelia dan bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja.

"Suami bekerja sebagai operator pengeluaran dan mulanya takut juga tengok dia mungkin kerana tak kenal.

"Entah macam mana, kami boleh berkawan dan bila sudah kenal, baru saya tahu suami rupanya baik dan juga penyayang orangnya.

"Bertitik-tolak daripada situ, kami jadi semakin rapat hingga menjalin hubungan cinta," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Di awal perkenalan, Nur Nadhirah terpaksa merahsiakan hubungannya dengan suami kerana belum bersedia untuk berterus terang.

Setahun kemudian, barulah Nur Nadhirah memberitahu hal sebenar kepada keluarga bagi mendapatkan restu ibu bapanya.

"Saya sembunyikan hubungan dengan suami daripada pengetahuan keluarga ketika tahun pertama perkenalan kerana bimbang penerimaan mereka jika dapat tahu mengenainya.

"Akhirnya 'kantoi' juga kerana kakak bekerja di tempat sama dan dapat tahu saya bercinta dengan suami.

"Jadi, lebih baik saya berterus terang dengan keluarga dan ayah okay cuma emak susah nak terima pada awalnya tetapi akur juga dengan pilihan saya menjelang pernikahan," katanya.

Mengikut perancangan, Nur Nadhirah berhasrat melangsungkan akad nikah di tanah air namun terbang ke Bangladesh untuk majlis itu kerana masalah permit kerja suaminya.

"Disebabkan perancangan sudah dibuat jadi kami teruskan pernikahan di kampung halaman suami.

"Saya ke sana dengan ditemani ibu (Shahrom Mohd Jasin), ayah (Roslee Muda) dan adik (Nur Nabilah Roslee).

"Seminggu juga di sana (Bangladesh) dan bersyukur kerana majlis pernikahan berjalan lancar, malah keluarga mentua juga sambut kami dengan baik.

"Walaupun berbeza latar belakang dan budaya, tiada masalah komunikasi antara kami kerana bapa mentua dan abang ipar saya boleh bertutur dalam bahasa Melayu memandangkan pernah bekerja di Malaysia.

"Perbualan dengan suami dan ahli keluarganya yang lain pula dalam bahasa Inggeris," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nur Nadhirah bersyukur kerana ramai mendoakan dan memberi reaksi positif terhadap hubungannya dengan suami.

"Ada juga segelintir yang persoalkan kenapa saya tak kahwin dengan lelaki Melayu dan menyangka suami saya orang Melayu dari utara tanah air kerana wajahnya.

"Sebenarnya, bukan saya tak pernah bercinta dengan lelaki Melayu sebelum berkahwin cuma mungkin sudah tertulis jodoh saya dengan suami jadi nak buat macam mana melainkan terima ketentuan itu.

"Jujurnya saya sendiri tak menyangka akan berkahwin dengan warga asing kerana tidak dari keluarga saya begitu.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya berharap jodoh kami panjang.

"Buat masa ini, kami tinggal berjauhan selama enam bulan kerana suami masih berada di Bangladesh," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2023 @ 2:17pm
d