mutakhir

Syarat TVET untuk pelajar OKU dipertimbang semula - Anwar

Oleh Mohamed Farid dan Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan akan mempertimbangkan semula syarat kemasukkan pelajar kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bagi memudahkan kemasukkan golongan OKU ke program TVET dengan keupayaan mereka.

Katanya, perkata itu akan dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

"Pertama ia akan membabitkan semua kementerian dan agensi. Saya akan bawa (perkara ini) kepada Jemaah Menteri, maaf saya tidak maklum mengenai perkara ini.

"Ia adalah untuk memastikan semua agensi kerajaan dan kementerian memastikan pengambilan golongan OKU ke program TVET.

"Majlis TVET dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid. Saya akan beritahu dia walaupun ada kelonggaran untuk OKU, tetapi janganlah kenakan syarat seperti dua tangan. Syaratnya mesti yang ada keupayaan.

"Insya-Allah ini boleh, kita beri ruang (melihat semula syarat-syarat TVET bagi pelajar OKU) dan saya rasa tiada masalah,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alumni UTM, Dr Ruzimi Mohamed dalam sesi soal jawab semasa program Temu Anwar Johor Bahru di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Dr Ruzimi dalam soalannya memaklumkan kekangan yang dihadapi pelajar OKU dalam permohonan program TVET yang meminta syarat perlu kedua tangan, sedangkan ada OKU yang boleh melukis dan menulis menggunakan kaki dan mulut.

"Saya faham ada program TVET yang tidak sesuai dengan pelajar OKU, tetapi tidak ada pengukuran. Perlu ada mekanisma baru untuk melihat syarat kemasukkan pelajar OKU mengikut keupayaan mereka,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan persetujuan dan akan membawa isu kuota pekerjaan satu peratus golongan OKU dalam Kementerian dan agensi kerajaan, ke dalam Masyuarat Jemaah Menteri.

"Saya setuju. Saya akan bawa (isu kuota pengambilan pekerja OKU) dalam masyarakat jemaah menteri.

"Supaya dapat pastikan semua agensi kerajaan dan kementerian melaksanakan pngambilan pekerja OKU mengikut kuota satu peratus,"katanya.

Dr Ruzimi dalam soalannya juga memaklumkan setakat ini hanya empat kementerian yang memenuhi kuota pengambilan pekerja OKU di negara ini.

Disiarkan pada: September 3, 2023 @ 5:00pm
d