mutakhir

SPRM KL jalin kerjasama strategik dengan Felcra

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Felcra Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menganjurkan program Pemantapan Antirasuah dan Integriti Felcra Berhad semalam.

Program itu membabitkan seramai 70 peserta terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi Felcra Berhad bertujuan mempertingkatkan usaha berterusan pencegahan dan pendidikan antirasuah dalam memastikan urusan perniagaan dijalankan dalam persekitaran bebas rasuah.

Antara peserta yang hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Timbalan Pengarah Belanjawan Kementerian Kewangan, Nor Azizati Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kuala Lumpur, Razali Bin Khamis serta pengerusi-pengerusi subsidiari Felcra Berhad.

Program sehari itu dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat kemudian diteruskan dengan lawatan ke bilik rakaman percakapan saksi, bilik kawad cam, bilik temubual video (VIR) dan lokap SPRM Kuala Lumpur sebagai pendedahan ringkas di dalam pengendalian sesuatu proses siasatan.

Turut diadakan sesi penerangan dan sesi dialog mengenai kesalahan rasuah mengikut Akta SPRM 2009 dan Liabiliti Korporat Seksyen 17A Akta SPRM 2009 oleh Ketua Cawangan Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Kuala Lumpur, Asrulna'im Abdullah.

Selain itu, taklimat insentif potongan cukai pula disampaikan oleh Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kuala Lumpur, Zairinhani Zulkifly.

Sesi dialog itu turut menekankan beberapa isu yang menjurus kepada pelanggaran rasuah dan integriti serta kaedah pembudayaannya di dalam organisasi korporat selain turut dikongsikan kes sebenar mengikut seksyen kesalahan Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin turut memberi peringatan kepada kesemua Ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan Tertinggi Felcra Berhad agar tidak terbabit dengan sebarang jenayah rasuah mahupun pelanggaran isu integriti.

Katanya, ia bagi memastikan tadbir urus selari dengan kehendak peraturan, pekeliling, arahan dalaman dan akta yang berkuat kuasa.

Disiarkan pada: September 8, 2023 @ 4:48pm
d