mutakhir

Lega SKSPS kurang beban tanggungan keluarga

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Bebanan kewangan ditanggung seorang isteri penghantar makanan yang maut dalam kemalangan mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Nur Ammera Atan, 32, berkata dia yang tidak bekerja buntu untuk membesarkan empat anak selepas kematian suami Muhamad Firdaus Rosli, 36, pada 30 Ogos lalu.

Katanya, lebih perit dia juga perlu menjaga bapanya yang uzur dan memerlukan penjagaan rapi hingga menyebabkan dia sukar untuk keluar bekerja.

"Dulu semua arwah suami yang uruskan dan tanggung tetapi dengan ketiadaan dia sekarang memang agak buntu, tambahan pula ayah saya pun sedang sakit dan perlu menjaganya setiap masa.

"Apabila dimaklumkan, dapat pencen bulanan arwah suami dari Perkeso memang lega sangat kerana boleh digunakan untuk perbelanjaan harian dan sekolah anak-anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Machang Bubuk, di sini, hari ini.

Terdahulu Nur Ammera menerima kunjungan Timbalan Pengarah Perkeso negeri Chiam Hong Lan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk Lee Khai Loon yang menyerahkan surat pembayaran pencen penakat Muhamad Firdaus.

Dalam pada itu, ibu kepada Allahyarham Muhamad Firdaus iaitu Faizah Abdullah, 59, berkata, anak sulungnya itu menerima rawatan selama hampir sebulan ekoran kecederaan dialaminya dan sepatutnya pada 30 Ogos adalah tarikh di mana anaknya dibenarkan pulang ke rumah.

"Kami sudah buat pelbagai persiapan termasuk membeli katil khas untuknya tetapi sudah menjadi takdir apabila dia pergi buat selama-lamanya dan kami sekeluarga reda atas pemergiannya," katanya.

Sementara itu, Hong Lan berkata, mengikut rekod Allahyarham Muhamad Firdaus yang juga Orang Bekerja Sendiri (OBS) mencarum dengan Perkeso melalui SKSPS.

"Kita mendapat maklumat bahawa Muhamad Firdaus yang bekerja sebagai penghantar makanan dengan sebuah syarikat p-hailing terbabit kemalangan pada 2 Ogos ketika dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.

"Dia yang mengalami kecederaan parah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos.

"Bagi mengurangkan beban yang ditanggung isteri serta anak-anaknya, kita menyerahkan pencen penakat yang akan dibayar seumur hidup dengan bayaran RM1,395 sebulan termasuk faedah pengurusan jenazah secara 'one - off' bernilai RM2,000," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2023 @ 4:54pm
d