mutakhir

Himpunan RX-Z: Polis nafi wujud campur tangan, tekanan pihak atasan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menafikan dakwaan wujud campur tangan dan tekanan daripada pihak atasan termasuk politik dalam Operasi Khas Motosikal sempena Himpunan RX-Z Member 5.0.

Sebaliknya, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan menegaskan operasi bersepadu yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu susulan rungutan orang awam di Terengganu terhadap penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya.

Beliau berkata, operasi dilakukan adalah tugas polis dan JPJ dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dan bukannya kerana desakan pihak atasan dan politik dalam isu berkenaan.

"Tidak ada (desakan dan tekanan), ini adalah kerana netizen (orang ramai) yang membuat rungutan dan kita membuat pemantauan bersama JPJ dan kita dapati terdapat kesalahan-kesalahan yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan bukan sahaja kepada penunggang motosikal tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Kita tidak mensabotaj mana-mana program (sebaliknya) kami (Polis Diraja Malaysia) dan lain-lain agensi menyokong apa jua program yang boleh memberi impak yang besar terhadap ekonomi dan sosial di Terengganu asalkan tidak melanggar undang-undang yang sedia ada.

"Sekiranya mereka melanggar undang-undang sedia ada, kami sebagai agensi utama akan mengambil tindakan yang sepatutnya secara profesional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Mazli berkata, sebanyak 185 motosikal dan 205 orang ditahan dalam operasi bersepadu yang bermula kelmarin hingga 12 tengah malam tadi membabitkan 83 pegawai dan anggota daripada polis dan JPJ Terengganu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebabyak 292 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkanpihaknya manakala sebanyak 311 notis dikeluarkan JPJ Terengganu.

"Dianggarkan seramai kira-kira 30,000 peserta menyertai program ini dan menerusi pemeriksaan itu, sebanyak 185 motosikal yang jelas melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Selain itu, pemeriksaan ini bukan sahaja kepada motosikal jenis RXZ tetapi pelbagai jenis motosikal yang melanggar peraturan dan spesifikasi motosikal turut ditahan," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2023 @ 5:04pm
d