mutakhir

Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia, polis terima 6 laporan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Enam laporan polis diterima berhubung penganjuran 'Himpunan Selamatkan Malaysia' yang dijadualkan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung laporan itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita akan memanggil beberapa individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung penganjuran perhimpunan itu.

"Ia susulan laporan dibuat kerana polis masih belum menerima sebarang notis pemakluman mengenai perhimpunan yang bakal berlangsung itu.

"Polis perlu dimaklumkan lebih awal mengenai perancangan perhimpunan itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan undang-undang dan perlembagaan, penganjuran perhimpunan perlu memberikan notis pemakluman kepada pihak polis dan mendapatkan kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan yang bakal diadakan.

Dalam himpunan ini, penganjur harus memohon kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pemilik kawasan lokasi perhimpunan diadakan seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan memaklumkan proses pemakluman mengenai penganjuran sebarang perhimpunan perlu memaklumkan pihak polis dan mendapatkan kebenaran berkemungkinan mengambil masa antara empat hingga lima hari.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang dirancang pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini tidak akan 'menggoncangkan' kerajaan.

Sebelum ini, melaporkan himpunan dijangka dihadiri 10,000 peserta itu mungkin berhadapan tindakan undang-undang berikutan penganjur dikatakan tidak membuat permohonan untuk berhimpun.

Disiarkan pada: September 12, 2023 @ 8:32pm
d