mutakhir

Mentega Terbang dikenakan perintah larangan

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Kerajaan mewartakan perintah larangan terhadap penayangan filem kontroversi, Mentega Terbang di seluruh negara.

Warta bertarikh 1 September lalu menerusi Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023, turut mencakupi larangan pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem.

Warta itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Ogos lalu.

"Menteri melarang penayangan, pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem yang diperihalkan dalam jadual bertentangan dengan kepentingan awam di seluruh Malaysia.

"Bagi maksud perintah ini, filem yang disebut dalam sub perenggan, hendaklah termasuk bahan publisiti filem itu," menurut warta terbabit.

Berdasarkan warta, jadual yang dimaksudkan merujuk kepada tajuk filem iaitu Mentega Terbang arahan Khairil Anwar, terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment.

Filem Mentega Terbang yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni berikutan tayangannya di platform dalam talian.

Malah, sedutan babak tertentu dalam filem itu turut tular, yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung, meminta daging babi daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah memeluk agama lain.

Disiarkan pada: September 13, 2023 @ 2:27pm
d