mutakhir

PWS agih RM1.2 juta wakaf fisabilillah

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Shah Alam: Sebanyak RM1.2 juta sumbangan wakaf fisabilillah diagihkan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) kepada 31 institusi di sekitar Selangor sehingga Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, agihan itu merangkumi enam masjid, sembilan surau, 14 sekolah, sebuah hospital dan musolla di bangunan Jabatan Agama lslam Selangor (Jais).

Menurutnya, ia bertujuan untuk membantu pembangunan, penaiktarafan, penambahbaikan, pembelian aset kekal atau aset yang boleh memberi manfaat dengan tempoh sekurang-kurangnya lima tahun di institusi berkenaan.

"PWS komited dalam menyediakan pelbagai platform untuk orang ramai mewakafkan harta sama ada dalam bentuk harta alih seperti wakaf tunai dan harta tak alih seperti tanah atau premis.

"Ia bertujuan meningkatkan dan mengembangkan pelaburan wakaf dalam bidang ekonomi dan merealisasikan pembangunan sosial demi kesejahteraan ummah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, PWS turut menyerahkan replika cek sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM50,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Banting, Rokiah Md Nor untuk menaik taraf dewan sekolah berkenaan.

Katanya, antara penerima sumbangan wakaf fisabilillah sebelum ini ialah Masjid Nurul Hasanah, Kuala Selangor; Surau Al- Munawir Kota Emerald, Rawang; Sekolah Kebangsaan Parit 4, Sungai Besar; Hospital Banting, Musolla Jais dan beberapa institusi lain.

"Ia sebahagian inisiatif sumbangan fisabilillah PWS dalam mengoptimakan penyaluran wakaf dengan menyantuni institusi keagamaan, pendidikan dan kesihatan.

"PWS berterima kasih kepada semua pewakaf dan teruslah berwakaf agar jariah anda dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh lebih ramai orang," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2023 @ 1:16pm
d