mutakhir

Kanak-kanak mandi sungai ditemui lemas

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Budak lelaki ditemukan lemas selepas mandi di Sungai Ibai, Kampung Laut di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Tuan Muhammad Iyad Tuan Noor Marzuki, 12, ditemui di dasar sungai pada 6.48 petang.

Mangsa dikatakan ke sungai itu selepas solat Asar bersama tiga lagi rakannya.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa mandi berseorangan manakala tiga rakannya sedang memancing, sebelum dia dilihat tenggelam timbul.

Kejadian disedari beberapa pemancing yang berada di lokasi, sebelum

mereka terjun untuk menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun, keadaan sungai berselut selain terdapat pusaran air yang deras menyukar mereka mengesan mangsa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.29 petang, sebelum sembilan anggota termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA) bergegas ke lokasi.

Katanya, usaha penyelamatan segera dijalankan dan mangsa ditemui di dasar sungai pada jarak 10 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2023 @ 9:29pm
d