mutakhir

Elak anjing punca kenderaan peronda PDRM terbalik dalam belukar

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Dua anggota polis terselamat sejurus kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbabas dan terbalik ketika mengelak seekor anjing.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi tadi, kenderaan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu terbabait nahas di Kilometer 7.3 Jalan Pintasan Rawang, dekat pusingan U menghala ke Serendah, di sini.

Difahamkan kedua-dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Sarjan, masing-masing berusia 27 dan 33 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kemalangan membabitkan SUV model Proton X70 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa menjalankan tugas dari Ipoh, Perak menghala ke Glenmarie, Shah Alam.

"Setiba di lokasi, pemandu SUV itu dikatakan mengelak seekor anjing menyebabkan kenderaannya terbabas dan terbalik," katanya semalam.

Ahmad Faizal berkata, kedua-dua anggota polis itu bagaimanapun berjaya keluar sendiri dari SUV terbabit.

Disiarkan pada: September 16, 2023 @ 3:16pm
d