mutakhir

310 kes penderaan kanak-kanak di taska

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Sebanyak 310 kes penderaan kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementerian mengambil beberapa langkah bagi memastikan pusat jagaan yang berdaftar sentiasa mematuhi akta dan peraturan ditetapkan.

Katanya, antara langkah yang diambil adalah pemantauan pemeriksaan berkala dan mengejut dilaksanakan oleh pegawai di beri kuasa kepada premis pusat penjagaan yang berdaftar, sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Kedua adalah memperkasa tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan yang melanggar akta dan peraturan-peraturan di bawahnya dan menganjurkan program kesedaran masyarakat supaya menjadi mata dan telinga bagi melaporkan kejadian yang disyaki.

"Bagi pusat jagaan yang tidak berdaftar, tindakan penguatkuasaan diambil dalam mengekang pengoperasian pusat jagaan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, sepanjang 2020 hingga 2022, sebanyak 13 pusat jagaan tidak berdaftar dikenakan tindakan antaranya pendakwaan dan kompaun.

Disiarkan pada: September 18, 2023 @ 9:47pm
d