mutakhir

Pakaian tradisi hadiri aktiviti seni, budaya di sekolah dibenarkan- KPM

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Semua murid dibenarkan memakai pakaian tradisi mengikut kaum masing-masing dan pakaian tradisi kaum lain sewaktu menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian di sekolah, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.

KPM, dalam kenyataan, memaklumkan kebenaran itu adalah berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 3/1984: Garis Panduan Mengenai Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-Sekolah, yang menetapkan kebenaran memakai pakaian tradisi yang bersesuaian dan sopan sewaktu menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian.

"Kebenaran juga diberi kepada murid-murid untuk memakai hiasan tambahan seperti gelang, rantai dan aksesori mengikut kesesuaian pakaian tradisi," menurut kenyataan itu.

Isu berkenaan merujuk kepada laporan sebuah portal berita mengenai sebuah sekolah di Selangor yang didakwa menghalang pelajar daripada berpakaian tradisional kaum lain semasa sambutan Hari Kebangsaan.

KPM memaklumkan isu berkenaan sudah diselesaikan dengan baik selepas pihak sekolah terbabit mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama wakil ibu bapa dan murid-murid.

Katanya, penambahbaikan kepada penganjuran aktiviti yang dirancang dilakukan oleh pihak sekolah dan isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.

"KPM sentiasa menggalakkan penglibatan murid-murid dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2023 @ 8:35pm
d