mutakhir

Modul khas tangani isu jenayah pelajar dilancar Oktober - Ayob Khan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan satu modul khas dalam usaha menangani isu jenayah termasuk buli siber dan penagihan dadah dalam kalangan pelajar dan penuntut di seluruh negara bulan depan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modul berkenaan ditambah baik daripada Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) yang diperkenalkannya ketika menjadi Ketua Polis Johor tiga tahun lalu.

Menurutnya, modul itu dibangunkan dengan kerjasama antara pegawainya dengan pakar psikologi dari universiti tempatan dengan memasukkan semua isu berkaitan pelajar dan akan digunakan di peringkat sekolah rendah hingga universiti.

"Saya akan bawa modul ini ke peringkat pusat di Bukit Awan untuk dilancarkan seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan sebagainya, insya-Allah.

"Modul ini kita pernah lancarkan di Johor dulu, namun tergendala sedikit kerana isu Covid-19," katanya ketika menjawab soalan seorang peserta dalam forum 'Membendung Gelombang Jenayah: Mewujudkan Komuniti Lebih Selamat Bersama' di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Forum anjuran Pertubuhan Hal Ehwal Wanita & Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia) itu turut disertai ahli panel, Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Ir Dr Mas Sahidayana Mokhtar sementara Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik UTeM, Profesor Madya Dr Sharifah Sakinah Syed Ahmad sebagai moderator.

Forum diadakan sempena Majlis Perasmian Penutup Seminar Pembudayaan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Bagi Memperkasa Masyarakat Madani yang disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ayob Khan berkata, ketika ini sebarang isu jenayah termasuk buli siber dilakukan pelajar sekolah akan dirujuk kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) mengikut daerah yang akan memberikan nasihat kesedaran.

"Kita yakin, modul (Mekar) ini akan beri impak besar jika digunapakai di semua peringkat sekolah dan universiti apabila ia dilancarkan bulan depan.

"Sementara waktu ni kalau ada masalah berhubung dengan PPS untuk kita mencari penyesuaian jika ada benda-benda baru," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam isu pelajar terbabit dadah di Johor sebelum ini pihaknya menggunakan pendekatan menemubual mereka yang terbabit bagi mengesan tokan dadah.

"Kita minta izin pihak sekolah untuk temubual pelajar dari mana mereka dapat bekalan dadah dan berjaya tangkap ramai tokan dadah, Insya-Allah modul yang sama kita akan gunakan untuk diberikan seluruh negara," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2023 @ 10:02pm
d