mutakhir

MK Ibrahim Speaker DUN Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan baharu di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Nama MK Ibrahim dicadangkan sendiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan disokong EXCO Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau menggantikan posisi ditinggalkan pendahulunya, Datuk Zulkefli Mohamad Omar.

Terdahulu, Setiausaha DUN Negeri Sembilan, Mohd Amin Ludin menerima cadangan dua individu termasuk MK Ibrahim yang mencadangkan nama Speaker DUN.

DUN Negeri Sembilan juga menerima surat kesanggupan menggalas tanggungjawab daripada MK Ibrahim yang kemudian mengangkat sumpah jawatan dalam Persidangan Pertama (Khas) Penggal Ke-15 yang berlangsung di Bangunan DUN Negeri Sembilan.

MK Ibrahim, 67, lulusan diploma kejuruteraan dari institusi pendidikan tempatan.

Beliau juga memegang jawatan Ahli Majlis Dewan Bandaraya Seremban (MBS).

Sementara itu, Mohd Amin memaklumkan pelantikan Timbalan Speaker DUN ditangguhkan kerana kerajaan negeri belum memutuskan nama.

Semua 36 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan turut mengangkat sumpah jawatan, hari ini.

Disiarkan pada: September 26, 2023 @ 11:43am
d