mutakhir

Kes Ebit Lew: Beberapa lagi individu akan diambil keterangan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan kes rogol dan gangguan seksual membabitkan pendakwah bebas Ebit Lew, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, setakat ini seramai 10 individu termasuk Ebit Lew, wanita warga Indonesia, Mondy Tattoo dan penyanyi rap, Caprice diambil keterangan.

"Ada lagi beberapa (individu) akan diambil keterangan untuk lengkapkan kertas siasatan.

"Ada perkara teknikal kita sedang tunggu termasuk laporan forensik. Apabila dah siap kita akan hantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mondy dan Caprice membuat laporan polis berhubung gangguan seksual yang didakwa dilakukan pendakwa bebas terkenal di negara ini terhadap Mondy.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew kemudian membuat laporan penafian berserta laporan fitnah di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, polis menerima laporan dibuat mangsa lima hari sebelum Ebit Lew membuat laporan penafian sejurus pulang dari luar negara.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mengenai siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang didakwa menghina agama Islam dengan mentafsir sendiri ayat al-Quran, Ayob berkata, kertas siasatan kes itu sedang dilengkapkan.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan ahli parlimen terbabit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada jam 3.30 petang, 26 September lalu.

"Dua laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis dalam proses lengkapkan kertas siasatan dan akan hantar pada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Howard dilapor sudah membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman sosial.

Disiarkan pada: September 29, 2023 @ 11:54am
d