mutakhir

KKDW sedang menilai tanah untuk bangunkan projek tanaman padi di Sabah, Sarawak

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang menilai tanah di Kota Belud, Sabah dan Sri Aman, Sarawak yang sesuai untuk dibangunkan projek tanaman padi dalam usaha memperkasa jaminan makanan negara.

Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang berkata, sebelum itu pihaknya melalui Felcra Berhad sudah telah mengenal pasti dua lokasi berkenaan di Sabah dan Sarawak untuk penanaman padi.

Menurutnya, usaha itu dibuat berikutan keprihatinan pihak KKDW terhadap isu kekurangan beras tempatan sekali gus dapat membantu serta menyokong Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengeluarkan lebih banyak hasil makanan.

"Memang kita prihatin dengan suasana sekarang khasnya kekurangan beras tempatan dalam pasaran yang kita sudah cakap lama mengenai hal ini.

"Bahkan, awal tahun ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah menekankan mengenai peningkatan 'food security' (jaminan makanan) untuk negara dan galakkan KPKM dan kementerian lain untuk bekerjasama dalam memastikan 'food production' (pengeluaran makanan) dapat ditingkatkan.

"Oleh itu, KKDW melalui agensi kita sudah kenal pasti dua negeri iaitu sabah di Kota Belud dan Sarawak di Stumbin, Sri Aman untuk bangunkan kawasan tanaman padi masing-masing melebihi 5,000 hektar yang sekarang di peringkat penilaian tanah dan mengenal pasti pengusaha tanaman (pesawah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas diminta mengulas mengenai usaha yang diambil KKDW bagi turut serta membantu KPKM menangani isu kekurangan beras tempatan pada ketika ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir dua jam bagi mengadakan lawatan kerja di Taman Agro Teknologi Pertanian Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Ara Kuda di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, selain penanaman padi agensi di bawah KKDW sebelum itu sudah mengusahakan banyak projek tanaman lain antaranya kelapa dan pelbagai jenis sayur-sayuran.

"Projek ini memfokuskan pembangunan luar bandar dengan pembabitan pelbagai agensi KKDW antaranya Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Perda," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa estet padi berskala besar akan dibangunkan di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu keterjaminan makanan negara.

Ia membabitkan kawasan Parlimen Kota Belud dan Kota Marudu di Sabah serta Parlimen Sri Aman di Sarawak dengan keluasan sekitar 15,000 hingga 20,000 hektar.

Disiarkan pada: September 30, 2023 @ 2:28pm
d