mutakhir

Sempat lihat jiran keluar rumah tergesa-gesa

Oleh BERNAMA

Arau: Jiran kepada lelaki yang disyaki menikam mati isterinya dengan pisau di sini pagi tadi, mengakui terkejut dengan kejadian berkenaan.

Mad Radzi Ismail, 41, yang tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa berkata, pasangan yang dikenali sebagai 'Mun' dan 'Lan' itu, dikenalinya sejak empat tahun lalu.

Beliau juga memaklumkan tidak pernah mendengar pasangan itu bertengkar, sepanjang mereka berjiran.

"Saya balik daripada bekerja kira-kira 8 pagi tadi dan tidak mengesyaki apa-apa, dan hanya sempat melihat suspek keluar daripada rumah dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira 9 pagi," kata bapa kepada dua anak itu kepada Bernama di sini.

Mad Radzi yang bekerja di sebuah kilang di sini juga menzahirkan rasa simpati terhadap nasib dua anak lelaki pasangan itu, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun.

"Saya simpati dengan anak-anak mangsa yang masih kecil. Mereka memanggil saya 'ayah' kerana kerap bermain di rumah saya," katanya.

Polis hari ini menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki menikam mati isterinya, 31, dengan sebilah pisau, di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, di sini.

Disiarkan pada: September 30, 2023 @ 7:01pm
d