mutakhir

Banjir di Kedah pulih, dua PPS ditutup sepenuhnya

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di daerah Kota Setar ditutup sepenuhnya hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman ditutup pada 9.30 pagi manakala SK Seri Gunung ditutup pada 8 pagi hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang berikutan paras air banjir semakin surut.

Dalam kejadian Isnin lalu, enam PPS dibuka berperingkat di daerah ini selepas ramai dipindahkan ke PPS berikutan paras air sungai melimpah ke kediaman penduduk.

Antara PPS terbabit adalah Taman Seri Bagan, PPS SK Titi Gajah, SK Taman Aman, SK Seri Gunung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah yang membabitkan keseluruhan 715 mangsa daripada 253 keluarga.

Dalam pada itu, tiga daerah lagi iaitu Kubang Pasu, Pokok Sena dan Baling yang turut dilanda banjir baru-baru ini juga sudah surut sepenuhnya berikutan cuaca makin baik.

Disiarkan pada: October 2, 2023 @ 12:24pm
d