mutakhir

Polis sahkan empat sekeluarga sudah pulang ke Kluang

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Polis mengesahkan keluarga yang dilaporkan hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini pada hujung minggu lalu disahkan selamat pulang ke Kluang, Johor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada keluarga mereka memaklumkan semua pulang ke rumah dengan selamat.

Katanya, kes itu dianggap selesai.

Terdahulu, Suraidah Abdul Ghani, 52, anaknya, Mohamad Aiman Mohd Rafee, 21, dan dua cucunya, Sasa Alesha, 7, dan Ahmad Dhani Mohd Saiful, 4, tidak dapat dihubungi sejak Sabtu lalu selepas bercuti di Pulau Perhentian, Besut pada Jumaat.

Sementara itu sukarelawan JNZA Gaung Global khidmat komuniti percuma, Ahmad Nazrul melalui laman sosialnya berkata, kereta dinaiki empat beranak itu ditemui di sebuah kedai makan di Kluang.

"Gambar dihantar oleh seorang rakan Facebook di ruangan komen posting saya.

"Sahabat kami bergegas ke kedai itu dan mendapati kereta telah tiada.

"Pemilik kedai mengesahkan mereka empat beranak ada berhenti dan makan di kedai itu, seorang lelaki dipercayai Aiman Rafee membayar makanan," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga disahkan selamat tiba di rumah di Kluang.

Disiarkan pada: October 3, 2023 @ 5:23pm
d