mutakhir

MyKid hanya dokumen tambahan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Kad MyKid yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di negara ini bukan dokumen wajib yang diperlukan.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Zamri Misma, berkata sejak 2021, sejumlah 160,000 permohonan MyKid diproses JPN dengan kira-kira 40,000 dokumen itu sudah diserahkan bergantung kepada bekalan mikrocip yang diterima pihaknya.

Bagaimanapun katanya, waris yang belum menerima MyKid tidak perlu bimbang dengan ketiadaannya kerana memiliki dokumen itu bukan suatu kewajipan.

"Pertama saya nak jelaskan dahulu, Mykid bukan satu dokumen yang wajib perlu ada, paling penting sijil kelahiran yang dikeluarkan JPN.

"Mykid adalah dokumen tambahan, sebenarnya tak perlu bimbang, tak perlu risau, tak akan kena tangkap kalau tiada MyKid, tak ada masalah," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Jabatan Pendaftaran Negara Kali ke-75 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Murthada Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof.

Sebelum ini media melaporkan mengenai rungutan waris yang belum menerima MyKid berikutan ketiadaan bekalan kad itu di seluruh negara.

Zamri berkata, biarpun MyKid bukan kewajipan, namun bagi mereka yang mempunyai keperluan mendesak mendapatkan dokumen itu boleh menghubungi pejabat JPN terdekat.

Dalam pada itu, Zamri turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan warga kerja JPN sebanyak RM8,197.90 kepada MADAD sebagai permulaan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Disiarkan pada: October 3, 2023 @ 5:24pm
d