mutakhir

Enggan harap simpati sesiapa, Najiha sanggup buat empat kerja sehari

Oleh Redzuan Muharam

Ampang Jaya: Peritnya kehidupan Afrin Najiha Makmur sekeluarga kerana pernah hidup dalam kesempitan hingga terputus bekalan makanan namun ia bukan alasan untuk meminta ihsan orang sekeliling.

Sebaliknya, ibu lima anak mesra disapa Najiha, 26, itu sanggup melakukan empat kerja dalam sehari iaitu mencuci masjid, mengambil upah jual produk kecantikan, menjual kek coklat dan aiskrim potong demi kelangsungan hidup.

Rutin itu dilakukan Najiha sejak tiga bulan lalu selepas mendapat idea daripada seorang rakan kerana buntu memikirkan bagaimana mencari wang bagi membantu suami yang tidak bekerja tetap.

Bercerita lanjut, Najiha yang menetap di Batu 6, Gombak berkata, kek coklat dan aiskrim potong dibuat sendiri pada lewat malam selepas anaknya tidur.

Seawal jam 7.45 pagi pula, dia sudah memulakan tugas mencuci masjid selepas menghantar anak ke sekolah dengan menaiki kereta.

"Sebelah pagi, saya akan ke Masjid Al-Ridhuan di Hulu Klang untuk ke bersihkan ruang dalam dan luar termasuk tandas dengan upah RM300.

"Saya tak berada di situ sampai petang kerana selesai kerja, saya pergi menjual aiskrim dan kek pula yang dibawa sekali di tepi jalan

"Jika ada yang beli untuk infaq, saya akan hantar ke lokasi dipesan manakala masa terluang yang ada saya akan gunakan untuk ambil upah jual produk kecantikan dan begitulah rutin saya setiap hari," katanya ketika ditemui Harian Metro di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang, di sini.

Tidak terhenti di situ, Najiha turut mengambil upah mencuci rumah dengan rakan jika ada yang memerlukan khidmat mereka.

Pada hujung minggu pula, Najiha akan mengambil upah membersihkan kawasan Masjid Al-Sharif di Simpang 3, Gombak, Selangor dengan upah RM300.

"Ikutkan penat juga buat empat kerja sehari kerana ikutkan saya tak boleh buat kerja berat memandangkan ada slip disc.

"Tapi selagi termampu, saya akan kerah keringat kerana fikirkan anak dan enggan hidup susah macam dulu.

"Lagipun, saya kerja bukan untuk bantu suami saja dan untuk anak saja tetapi tanggung keluarga di kampung," katanya yang juga mempunyai seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) kategori intelektual.

Berkongsi cabarannya, Najiha berkata, pernah beberapa kali minyak keretanya habis di tengah jalan namun dia sanggup jalan kaki untuk pergi bekerja.

"Ada ketika, minyak habis sebab saya memang tak ada duit nak isi dan saya pula tak reti pesan e-hailing jadi jalan kaki saja kalau kereta meragam di tengah jalan.

"Ikutkan kereta saya pandu itu pun bukan milik saya tetapi emak mentua dan sudah lama pun malah pernah seminggu tak pergi kerja selepas kereta dilanggar lari oleh individu tak bertanggungjawab.

"Tapi saya terpaksa bertahan kerana itulah satu-satunya kenderaan yang ada untuk cari rezeki," katanya.

Berhubung perkongsian kisahnya di TikTok, Najiha berkata, niatnya sekadar untuk menceritakan apa dilalui sebagai seorang ibu.

"Saya kongsi bukan untuk raih simpati sesiapa kerana masih sihat untuk bekerja tetapi sekadar hiburan saja.

"Pada masa sama, saya nak beri inspirasi kepada wanita di luar sana dan Alhamdulillah, banyak komen positif.

"Bagaimanapun, ada juga komen negatif menganggap saya meminta-minta selain mempertikaikan suami saya. Selebihnya ada juga ingat saya ibu tunggal tapi saya terima saja apa yang mereka katakan," katanya yang kini dalam permohonan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Disiarkan pada: October 8, 2023 @ 2:08pm
d