mutakhir

Bukan hilang tapi sembunyikan diri daripada pemungut hutang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lelaki yang 'hilang' selama empat hari ketika membuat urusan penjualan telefon bimbit sebelum ditemui selamat didapati menyembunyikan diri daripada pemungut hutang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan rakaman keterangan yang dilakukan selepas lelaki berusia 27 tahun terbabit tampil membantu siasatan.

Beliau berkata, lelaki itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi memberikan keterangan, semalam.

"Pemeriksaan mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kejadian berlaku ke atas dirinya.

"Sebenarnya dia melarikan diri atau menyembunyikan diri daripada pemungut hutang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis meminta lelaki yang didakwa hilang sejak 3 Oktober lalu ketika membuat urusan penjualan telefon bimbit sebelum dijumpai selamat supaya tampil untuk membantu siasatan lanjut.

Hussein dilaporkan berkata, polis gagal menghubungi atau mengesan keberadaan mangsa dan juga tunangnya buat masa ini.

Beliau dipetik berkata, polis cuma dimaklumkan berkaitan kes orang hilang yang dilaporkan di Balai Polis Pantai, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan mangsa sudah kembali kepada keluarganya.

Katanya, polis sedang berusaha berhubung dengan mangsa untuk mengetahui kejadian sebenar yang berlaku.

Terdahulu, lelaki itu dikatakan diselamatkan pemandu lori sebelum kembali kepada keluarganya, kelmarin.

Dia dikatakan kali terakhir dikesan berada di George Town, Pulau Pinang selepas dikatakan sempat membuat panggilan video dengan tunangnya untuk meminta tolong.

Disiarkan pada: October 9, 2023 @ 1:29pm
d