mutakhir

Sekolah, masjid, hospital, beberapa binaan lain Aman Palestin di Gaza tidak terjejas

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Beberapa aset binaan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aman Palestin Berhad masih selamat selepas berlakunya pergolakan.

Pengurus Jabatan Media Dan Dokumentasi Aman Palestin, Ismail Muhammad Juffri berkata, setakat ini serangan yang dituju oleh Gaza di Pusat Ketenteraan tidak memberi kesan kepada projek Aman Palestin.

"Sekolah, masjid, hospital dan beberapa binaan lain di bawah Aman Palestin tidak terjejas.

"Masjid termasuk Masjid Al-Qassam dan Imam Syafie yang pernah dimusnahkan dan telah dibina semula masih selamat," katanya.

Sekolah anak yatim Darul Fadilah dan Sekolah Al-Quran Malaysia juga masih teguh di Palestin.

"Namun, salah seorang guru di sekolah Al-Quran Malaysia, As Syahid Muhammed Al-Salhi telah terkorban dalam satu serangan," katanya ketika ditemubual Harian Metro.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Aman Palestin di Gaza, Ir Omar Seyam, memberi laluan kepada pemberian bantuan kecemasan dari pihak Malaysia ke pejabat di sana.

Sikap prihatin dan sokongan kuat rakyat Malaysia dapat membantu memenuhi keperluan masyarakat Palestin.

Rakyat Palestin yang menetap di Malaysia hampir 10 tahun, Mohammed A M Shehab berkata, beliau menghadapi kesulitan untuk berhubung dengan pihak keluarga di sana.

"Tiada waktu yang khusus untuk berkomunikasi kerana bekalan elektrik sering terputus.

"Kami hanya mempunyai paling kurang dua jam sehari untuk berkomunikasi ahli keluarga di sana," katanya.

Shehab berkata, aplikasi seperti Facebook Messenger dan WhatsApp sering beliau gunakan untuk berhubung.

#kw palestin, bantuan, NGO

Disiarkan pada: October 10, 2023 @ 5:31pm
d