mutakhir

Tanah runtuh di Cameron Highlands, 16 keluarga dipindahkan

Oleh Amir Hamzah Nordin

Cameron Highlands: Kejadian tanah runtuh di penempatan semula Orang Asli Kampung Sungai Ruil Golden Hill di sini pagi tadi memaksa 16 keluarga dipindahkan.

Kejadian itu turut menyebabkan tiga motosikal tertimbus dan sebuah garaj kereta rosak, namun tiadak kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat pada jam 11.15 pagi.

Katanya, pegawai operasi melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku berdekatan perumahan terbabit dan penduduk terpaksa dipindahkan.

"Anggota bomba membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan mendapati masih berlaku pergerakan tanah dan mengarahkan penghuni 16 rumah di kawasan itu mengosongkan kediaman masing-masing dan berpindah sementara ke tempat selamat.

"Mangsa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ruil," katanya di sini, hari ini.

Katanya, anggota BBP Cameron Highlands terus membuat pemantauan di lokasi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: October 12, 2023 @ 2:22pm
d