mutakhir

Kerajaan teruskan program bina kerjaya pekerja gig

Oleh Suliati Asri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan meneruskan Program Bina Kerjaya Perkeso bagi memastikan pekerja tidak formal khususnya yang terbabit dalam ekonomi gig mempunyai peluang mengikuti program pembangunan kerjaya dan latihan kemahiran microcredential.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM35 juta disediakan antaranya untuk membiayai yuran latihan dan insentif gantian pendapatan kepada 9,000 pekerja gig yang menghadiri program latihan.

"Kerajaan juga akan menambah baik program perlindungan sosial bagi memastikan golongan tumpuan terus mendapat perlindungan sewajarnya.

"Kadar tanggungan Kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan RM100 juta.

"Oleh itu, saya menyeru syarikat pengendali untuk menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig. Saya juga yakin syarikat pengendali platform amat prihatin dengan kebajikan pekerja mereka," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 hari ini.

Disiarkan pada: October 13, 2023 @ 7:17pm
d