mutakhir

Buang bayi tepi ladang getah, dua ditahan bantu siasatan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru lahir ditemukan berselimut kain batik dan tuala dalam bakul di atas jalan berhampiran ladang getah Kampung Datuk Syed Ahmad, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, bayi itu ditemukan hidup dengan kesan darah bersama tali pusat serta uri.

Beliau berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan bayi itu pada 7.05 malam semalam daripada penduduk kampung yang mengesyaki sesuatu mencurigakan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis bersama kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Tiang melakukan pemeriksaan dan mendapati bayi perempuan itu masih hidup.

"Kita percaya, bayi itu dipercayai ditinggalkan di kawasan itu kurang daripada 12 jam sebelum ditemukan. Bayi perempuan kemudiannya dihantar ke Hospital Pendang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, susulan itu, pihaknya menahan wanita dipercayai ibu bayi berkenaan dan lelaki yang dipercayai pasangannya dalam tangkapan berasingan untuk membantu siasatan.

"Lelaki itu ditahan pada 12 tengah hari tadi manakala wanita itu ditahan pada 12.15 tengah hari. Siasatan masih dilakukan bagaimana bayi itu ditinggalkan di kawasan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Arriz Sham berkata, mereka akan direman esok di Mahkamah Alor Setar untuk membantu siasatan.

"Bayi itu dalam keadaan sihat dan masih dirawat di hospital dan akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2023 @ 8:02pm
d