mutakhir

Warga Singapura parah, Porsche langgar tiang lampu

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Lelaki warga Singapura parah apabila kereta mewah jenis Porsche 911 Dakar dipandu terbabas lalu melanggar tiang lampu jalan di Batu 16, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini, hari ini.

Dalam kemalangan 10 pagi itu, mangsa yang juga pemandu kereta patah kaki kiri, luka di tangan dan kaki manakala isterinya luka di tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa bersama beberapa kereta mewah dari Singapura sedang berkonvoi dari arah bandar ini menuju Mersing.

"Pemandu dan penumpang hadapan Porsche 911 Dakar adalah suami isteri warga Singapura.

"Hasil siasatan awal mendapati ketika melalui jalan selekoh ke kanan, kereta terbabit terbabas lalu terlanggar tiang lampu tanpa membabitkan kenderaan lain," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: October 15, 2023 @ 7:06pm
d