mutakhir

Blackberry nyata hasrat kerjasama dengan Malaysia - Anwar

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: BlackBerry, syarikat utama Kanada yang menawarkan perisian dan perkhidmatan penyelesaian keselamatan siber, menyatakan hasrat untuk menopang pertumbuhan ekonomi negara menerusi kerjasama bersama Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Wayne Robson bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry Cybersecurity, John Gianmatteo, petang tadi.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam satu hantaran di Facebook berkata Gianmatteo turut memaklumkan bahawa syarikat itu bercadang untuk membuka Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry yang pertama di rantau Asia Pasifik.

"Saya nyatakan pendirian Malaysia untuk terus membuka peluang dan memudah cara pelaburan berkualiti yang ingin dibawa pihak luar.

"Moga komitmen dan usaha bersepadu yang sedang dilaksana Kerajaan Perpaduan dalam menstruktur ekonomi dapat menarik minat lebih ramai pelabur asing," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2023 @ 11:42pm
d