mutakhir

McDonald's Malaysia sumbang RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: McDonald's Malaysia mengesahkan sumbangannya sebanyak RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin yang baru dilancarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan McDonald's Malaysia hari ini memaklumkan bahawa syarikat itu berganding bahu bersama kerajaan dalam menyokong pendanaan berkenaan dengan harapan supaya dapat membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi masa yang sukar.

"Langkah ini adalah selaras dengan hasrat murni kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

"Usul Perdana Menteri untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menyokong mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza.

"Krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza mengetengahkan kepentingan usaha ini," menurut kenyataan itu.

Menurut McDonald's Malaysia, sumbangan kepada Dana Kemanusiaan Palestin akan secara langsung menyokong misi bantuan kemanusiaan di Gaza sekali gus memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas akibat konflik tersebut.

Syarikat itu menyatakan bahawa sumbangan tersebut meliputi perubatan, makanan, tempat tinggal dan bantuan pemindahan sekiranya diperlukan oleh pasukan penyelamat.

Katanya komitmen McDonald's Malaysia tertumpu sepenuhnya kepada menyediakan keperluan asas kepada mereka yang dalam kesusahan.

"Kami yakin semangat kerjasama dapat membantu dalam masa yang genting ini.

"Selain sumbangan ini, McDonald's Malaysia juga menggalakkan pekerja-pekerja dari seluruh negara untuk menyertai usaha pengumpulan dana bagi terus membantu misi bantuan di Gaza.

"Kami berharap usaha ini akan memberi impak yang bermakna dalam kehidupan mereka yang terkesan di Gaza," menurut kenyataan itu.

Disiarkan pada: October 17, 2023 @ 11:05pm
d