mutakhir

Semoga roh mereka diberi ganjaran tinggi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Pengerusi Perikatan (PN) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkongsi kesedihan sambil berharap ahli keluarga tiga pemimpin Dewan Muslimat Pas yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 390 di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Behrang, Perak, semalam sentiasa tabah.

Beliau berkata, pemergian ketiga-tiga wanita dalam tragedi terbabit begitu menyayat hati sekali gus berharap roh ketiga-tiga mereka dicucuri rahmat dan ihsan daripada Allah.

"Saya dengan penuh keyakinan mengharapkan agar ruh Ustazah Taibah Sulaiman (Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani), Ustazah Nur Najihah Amzi (Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani) dan Ustazah Nor Fatihah Nabila (Ketua Ameerah Kawasan Sungai Petani) dicucuri rahmat dan ihsan daripada Allah SWT.

"Ini kerana perginya mereka tatkala sedang melakukan usaha amal yang mulia iaitu membantu insan lain yang mengalami kemalangan di Lebuh Raya Utara - Selatan (Behrang, Perak) ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar Tahunan parti di Shah Alam," katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.

Menteri Besar Kedah itu turut mendoakan roh ketiga-tiga Allahyarham ditempatkan bersama syuhada, dikira sebagai pejuang agama dan kebajikan dengan setinggi-tinggi ganjaran daripada Allah.

"Kepada keluarga mereka, saudara-mara serta sahabat handai, moga tabah menghadapi pemergian ini yang kita sendiri akan susuli nanti.

"Dengan rasa sedih dan kehilangan, mari kita sama-sama mendoakan (mereka)," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2023 @ 10:37am
d