mutakhir

Tak sedap hati, petanda tiga rakan maut kemalangan

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Tanjung Malim: "Saya tak sedap hati, tiba-tiba pegawai ambulans muncul beritahu mereka terbabit kemalangan," kata Hasnah Nayan, seorang daripada rakan dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dinaiki tiga perwakilan Muslimat PAS yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 390 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Behrang di sini, semalam.

Hasnah, 61, berkata, ketika kejadian dia bersama seorang lagi rakan, Noorsimah Saleh, 54, tidak turun dari kenderaan kerana kurang sihat, tambahan pula hujan lebat.

"Kenderaan kami di hadapan melepasi lokasi trak pikap terbabas itu, kemudian beberapa kereta lagi parkir di belakang sehingga kami tidak dapat lagi melihat keadaan trak pikap dan tiga rakan yang turun memeriksa.

"Hampir 30 minit tunggu dalam kereta, langsung tak sedar apa yang berlaku di luar, bunyi hentaman pun saya tak dengar.

"Saya tak sedap hati, tertanya-tanya dan hendak turun kereta. Tiba-tiba pegawai ambulans datang bertanya dan maklumkan tiga rakan kami itu sudah dirempuh kereta," katanya ketika ditemui di Hospital Slim River, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, maut di tempat kejadian, manakala Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

Difahamkan, mereka bertiga dalam perjalanan pulang dari menghadiri Muktamar PAS ke-69 di Shah Alam, Selangor ke Sungai Petani, Kedah.

Hasnah berkata, mereka berlima yang menaiki Toyota Fortuner sempat berhenti di Hentian Sebelah Behrang arah utara untuk solat zuhur sebentar dan membeli makanan sebelum meneruskan perjalanan hingga tiba di lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi sebuah trak pikap Mitsubishi Triton di hadapan mereka terbabit kemalangan membuatkan mereka berhenti di lorong kecemasan.

"Fatihah menghubungi pihak lebuh raya bagi memaklumkan kemalangan itu dan mereka bertiga turun dari kereta meredah hujan bagi memeriksa keadaan mangsa.

"Pada asalnya saya menyangka ambulans datang untuk membantu mangsa kemalangan itu, rupa-rupanya ia untuk rakan saya. Kami berdua yang duduk di dalam kereta terkedu dan tidak tahu hendak buat apa kerana mereka pergi sekelip mata sedangkan sebelum itu masing-masing sangat ceria," katanya.

Berita berkaitan

Ucapan hari lahir terakhir sebelum isteri maut kemalangan

Semoga roh mereka diberi ganjaran tinggi

Disiarkan pada: October 21, 2023 @ 11:15am
d