mutakhir

Tak sangka lelaki maut kemalangan bekas suami sendiri

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang wanita tidak menyangka kemalangan maut berhampiran rumahnya di Jalan Kionsom, Inanam, di sini awal pagi tadi rupa-rupanya membabitkan bekas suami sendiri.

Bekas suaminya yang berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aini, 50, berkata, pada awalnya, dia menyedari ada kereta terbabas di tepi jalan ketika keluar rumah untuk mengambil anaknya.

Katanya, dia langsung tidak menyedari kenderaan berkenaan adalah milik bekas suaminya dan meneruskan perjalanan.

"Sebalik pulang ke rumah dari mengambil anak, saya baru perasan kereta berkenaan adalah milik bekas suami dan terus turun untuk kepastian.

"Saya terkejut apabila melihat bekas suami dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dimaklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Aina berkata, walaupun sudah berpisah sejak setahun lalu, namun dia sedih dengan kejadian menimpa bekas suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 11.39 malam.

"Mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu.

"Mangsa dikeluarkan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian," katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 23, 2023 @ 7:08pm
d