mutakhir

MCM bina 14 telaga tiub, bantu 10 kampung

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Muslim Care Malaysia Society (MCM) membina 14 telaga tiub dan menara tangki bernilai RM291,200 di beberapa penempatan di sini, yang sering mengalami masalah bekalan air.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pembinaan telaga tiub itu memberi manfaat kepada hampir 10 kampung dengan kapasiti seramai 10,000 penduduk.

Katanya, projek berkenaan turut mendapat kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang mana pembinaan bermula pada Jun 2022 dan siap sepenuhnya pada September tahun ini.

"Antara penempatan yang menerima manfaat telaga tiub ialah Taman Rantau Mas, Kampung Bakat, Kampung Kubang Kual, Kampung Bukit Tandak, Kampung Kedap, Kampung Gual Sitok dan Kampung Luar Gual Periok, di sini.

"Selain untuk kegunaan penduduk setempat, sumber air ini juga dapat turut digunakan di sekolah, masjid dan dewan komuniti sekali gus memberi lebih banyak manfaat jangka masa panjang.

"Malah, kawasan yang dipilih untuk menerima telaga tiub ini juga adalah penempatan yang dilanda banjir setiap kali Monsun Timur Laut melanda," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian 'Water2Survive-14 Telaga Tiub' Kelantan Darul Naim di Dewan Serbaguna Taman Rantau Mas, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, Projek Water2Survive adalah projek berkaitan pembinaan kemudahan sumber air kepada penduduk yang memerlukan bukan saja di Malaysia malah sehingga ke luar negara.

"Sejak dilancarkan pada 2010, MCM berjaya membina telaga tiub di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Selangor dan Kedah selain menyalurkan bantuan air bersih kepada mereka yang terjejas akibat bencana alam.

"Di luar negara pula, MCM membina sebanyak 169 telaga tiub seperti di Afghanistan, Pakistan, Indonesia, Bangladesh, Nepal, Kemboja dan Syria," katanya.

Menurutnya, MCM berharap agar usaha sebegini dapat meringankan beban ramai pihak yang berada dalam kesulitan selain mengalu-alukan kerjasama agensi lain untuk sama-sama mengusahakan kebajikan demi rakyat yang memerlukan.

Disiarkan pada: October 24, 2023 @ 1:18pm
d