mutakhir

Empat sekeluarga makan bijirin untuk isi perut

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Gurun: Ibarat jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib menimpa wanita yang lumpuh sejak 15 tahun lalu akibat penyakit artritis reumatoid sehingga menjejaskan hampir keseluruhan sendi badannya.

Nasib keluarga ini terus diuji apabila suami kepada Akhilah Ahmad, 47, turut disahkan mengidap penyakit jantung pada Julai lalu menyebabkan kudratnya tidak sekuat dahulu.

Menurut Akhilah, suaminya, Mohd Zaidi Desa, 46, hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah antara RM35 hingga RM50 sehari.

"Saya disahkan menghidap penyakit (artritis reumatoid) ini selepas 50 hari melahirkan anak kedua kami. Sejak itu saya terlantar kerana penyakit ini menjejaskan tulang belakang dan hampir semua sendi di badan.

"Anak sulung Nur Adira, 20, pula tidak bekerja kerana perlu menjaga saya sepenuh masa, manakala anak bongsu Muhammad Haikal, 15, masih bersekolah.

"Pendapatan suami tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa catu makanan dengan hanya makan nasi sehari sekali dan makan nestum bagi menbolehkan perut kami kenyang lebih lama," katanya yang tinggal di Kampung Batu Lapan, di sini.

Akhilah berkata, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) masing-masing sebanyak RM300.

Menurutnya, wang bantuan itu bagaimanapun tidak mencukupi kerana perlu membeli lampin pakai buang dan susu khas berharga RM150 satu tin yang hanya dapat bertahan beberapa hari sahaja.

"Saya memang terpaksa mengharapkan ihsan saudara mara dan rakan-rakan, mereka sudah banyak membantu.

"Keadaan itu membuatkan saya rasa malu untuk meminta sehingga ada waktunya kami terputus bekalan makanan," katanya yang turut mengalami luka di bahagian belakang kerana terlantar terlalu lama.

Menurutnya, keadaan rumahnya juga sangat uzur menyebabkan mereka terdedah kepada haiwan berbisa dan pencuri.

Katanya, lantai dan dinding rumah banyak reput dimakan anai-anak, malah ada lantai yang sudah berlubang selain atap sudah banyak yang bocor.

"Terdapat bahagian rumah yang dibina baharu dua tahun lalu dengan bantuan kenalan di kampung, namun tidak dapat disiapkan kerana faktor kewangan.

"Saya fikir nasib anak-anak, mereka juga perlu ada kehidupan sendiri satu hari nanti, dengan keadaan saya dan rumah kami yang daif, macam-macam boleh berlaku," katanya yang hanya mampu menggerakkan kepala dan mengangkat tangan dengan kadar minimum.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0212541000027513 atas nama Akhilah Ahmad.

Disiarkan pada: October 27, 2023 @ 2:26pm
d