mutakhir

PH tidak teruskan petisyen bantahan keputusan PRN tiga DUN

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak meneruskan petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Sungai Kandis dan Dengkil.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan menyemak keputusan tidak meneruskan petisyen dengan pihak guaman PKR yang ditentukan melalui Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) parti.

"Petisyen bagi Gombak Setia sudah dihantar, yang lain tiga DUN dalam penelitian, tetapi saya difahamkan pihak peguam PKR merasakan kes-kes tersebut tidak mahu diteruskan, jadi itu kita serahkan kepada JPRP.

"Kita akan tengok balik kenapa tempoh hari tidak dimajukan (diteruskan)," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, setakat ini, hanya satu petisyen bantahan dikemukakan membabitkan DUN Gombak Setia yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Petisyen yang dikatakan membabitkan empat DUN itu dirancang ekoran kemenangan yang diperoleh di kawasan berkenaan adalah rendah.

DUN itu ialah Sungai Kandis dengan majoriti 167 undi, Taman Medan (30), Gombak Setia (58) dan Dengkil sebanyak 407 undi majoriti.

Pada PRN lalu, di Gombak Setia, Hilman Idham (PN) memenangi DUN berkenaan dengan memperoleh undi sebanyak 30,299 undi berbanding calon BN Datuk Megat Zulkarnain Omardin, 30,241 undi menerusi pertembungan tiga penjuru.

Sementara di Sungai Kandis, bekas Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni tewas kepada calon PN, Wan Dzahanurin Ahmad (PN) dengan undi yang diperolehi masing-masing sebanyak 28,759 dan 28,926 undi.

Di Taman Medan pula, calon PN, Dr Afif Bahardin memperoleh 22,316 undi menewaskan wakil PH, Ahmad Akhir Pawan Chik yang ketinggalan tidak jauh dengan jumlah undi sebanyak 22,286.

Bagi DUN Dengkil, Noorazli Said daripada BN tewas kepada wakil PN, Datuk Seri Jamil Salleh dengan jumlah undi diperolehi masing-masing iaitu 33,154 dan 33,561 undi.

Disiarkan pada: October 27, 2023 @ 2:27pm
d