mutakhir

'Ayahanda' miang sudah dibuang persatuan

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: 'Ayahanda' miang yang didakwa memegang payudara pekerja wanita dan menyerang mangsa secara seksual sudah dibuang daripada persatuan.

Warga emas berusia lingkungan 70-an itu didakwa melakukan perbuatan keji ke atas mangsa yang juga penghidap barah payudara tahap empat ketika mereka berada di pejabatnya di sekitar Petaling Jaya, Selangor Mei lalu.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Datuk Ismail Awang berkata, pihaknya sudah bertemu dengan mangsa berkenaan pada 23 September lalu.

"Suspek sudah dipecat daripada jawatannya dalam persatuan dan mengikut perlembagaan dia perlu memberi laporan balas.

"Bagaimanapun dia tidak memberikan sebarang respon (bertulis) dan hanya menafikan tuduhan (gangguan seksual) itu secara lisan tetapi tiada penjelasan bertulis," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, penghidap barah payu dara trauma selepas menjadi mangsa gangguan seksual majikan yang juga seorang figura bergelar 'ayahanda' di Selangor.

Mangsa, Ana, 49, berkata, dia mengenali lelaki itu apabila pernah bekerja di syarikat membekal buruh asing milik suspek pada 2021 namun meletakkan jawatan berikutan masalah kesihatan dialami anaknya.

Ana yang berasakan maruahnya dipermainkan lantas membuat laporan kepada polis malah meminta rakan sekerja yang juga didakwa sering diserang secara seksual oleh suspek untuk melaporkan perkara itu.

Bagaimanapun katanya, rata-rata rakan sekerja enggan membuat laporan kerana menganggap lelaki itu seperti 'bapa-bapa' atau 'datuk-datuk' malah ada yang menganggap perbuatannya tidak lebih dari gurauan.

Katanya, pada mulanya dia berasa takut untuk membuat laporan namun atas sokongan rakan dan ahli persatuan lain dia memberanikan diri untuk tampil.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan bahawa suspek sudah dituduh dan sedang menanti proses perbicaraan di mahkamah.

Disiarkan pada: November 6, 2023 @ 3:41pm
d