mutakhir

Masih ramai belum daftar SKKR, SKSPS - Sivakumar

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Masih ramai golongan wanita masih belum mendaftar bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, sehingga Oktober ini, 197,000 wanita yang berdaftar dengan lebih 30,000 wanita berdaftar secara sendiri dan selebihnya di bawah Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

"Kita berharap lebih ramai golongan wanita mengambil peluang untuk membuat pendaftaran sama ada menerusi dalam talian atau datang ke pejabat PERKESO.

"Mereka yang berdaftar menerusi skim ini akan mendapat pelbagai faedah antaranya perubatan, perlindungan domestik termasuk yang berlaku di dalam rumah, beli barang dapur dan hantar anak ke sekolah," katanya selepas merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia peringkat Kelantandi sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.

Sivakumar juga berharap badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat yang ada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya membiayai golongan wanita untuk daftar di bawah skim ini.

Pada perkembangan yang sama, beliau berkata, 787,586 individu yang berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Katanya, jumlah itu juga menunjukkan bahawa masih ramai yang tidak sedar untuk mencarum dengan skim.

"Saya juga berharap individu bekerja sendiri supaya tampil berdaftar dengan skim ini untuk mendapatkan pelbagai faedah," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2023 @ 12:51pm
d