mutakhir

Ahli Parlimen Jeli pula isytihar sokong kepimpinan Anwar

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Tidak sampai 24 jam Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini Ahli Parlimen Jeli pula tampil berbuat sedemikian.

Zahari Kechik berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri itu berkuat kuasa hari ini.

"Selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik mengenai permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam kawasan Parlimen Jeli.

"Maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.

"Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi.

"Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen, saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli," katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata akan tetap taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu.

"Saya bersedia berdepan dan menerima risiko dari tindakan disiplin parti demi memastikan pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan dari Kerajaan Pusat.

"Dengan ini saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat.

"Sokongan saya ini berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya," katanya.

Katanya, pengisytiharan sokongan kepada Perdana Menteri itu dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak sebaliknya atas kerelaan beliau sendiri demi rakyat.

"Moga Allah SWT akan memberkati dan kepada Allah saya berserah," katanya.

Terdahulu, Mohd Azizi mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Azizi dilapor berkata, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk Parlimen berkenaan dalam tempoh perkhidmatannya.

Disiarkan pada: November 8, 2023 @ 4:53pm
d