mutakhir

NUJM adakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu turut disertai oleh wakil Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan cabaran yang terpaksa dihadapi industri media khususnya membabitkan jumlah ahli NUJM yang semakin berkurangan.

Malah pelbagai input baharu dikongsikan dalam merangka perancangan yang sesuai dan berkesan.

Menariknya mengenai pertemuan itu, Sivakumar menyambut baik cadangan NUJM untuk berkolaborasi dengan kementeriannya bagi mengadakan majlis malam bersama media.

Difahamkan majlis seumpama itu sudah lebih 20 tahun tidak dilakukan NUJM dengan agensi kerajaan bagi mengeratkan ukhwah dan silaturahim.

Pada pertemuan itu, NUJM yang diketuai oleh presidennya, Farah Marshita Abdul Patah hadir bersama lapan exco NUJM yang diwakili pelbagai agensi berita.

Selepas perbincangan dan cadangan yang diusulkan bagi membantu memantapkan kesatuan pada masa mendatang, Sivakumar turut meluangkan masa makan tengah hari bersama rakan-rakan media yang hadir.

Disiarkan pada: November 9, 2023 @ 4:11pm
d