mutakhir

Wanita didakwa kemuka dokumen palsu Penjana Kerjaya 2.0

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 membabitkan nilai keseluruhan RM28,200, dua tahun lalu.

Tertuduh Dayang @ Jessie Ambukon, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memberikan kepada ejen iaitu Pegawai Perkhidmatan Pejabat Perkeso dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya "mengunci masuk" (login) enam pekerja syarikat JR Samudera Logistic Sdn Bhd ke dalam sistem Penjana Kerjaya 2.0 yang prinsipalnya mempunyai kepentingan mengenainya.

Tertuduh juga mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen terbabit mengandungi butiran matan palsu iaitu senarai enam pekerja terbabit yang sebenarnya bukan pekerja atau kakitangan di syarikat miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Insuran Pekerjaan (SIP) Pejabat Perkeso Cawangan Tawau, di sini, pada 15 Mac 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Syarikat JR Samudera Logistic bertarikh 15 Mac 2021 bagi tujuan permohonan insentif Penjana Kerjaya 2.0 yang mana tertuduh mengetahui atau mempunyai sebab bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Nabila Norsahar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM2,000 selain dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap tiga bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Disember depan.

Disiarkan pada: November 9, 2023 @ 4:17pm
d