mutakhir

Kementerian Sumber Manusia pantau majikan culas

Oleh Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia komited memastikan tiada lagi buruh paksa khususnya dalam kalangan pekerja tempatan menjelang 2030.

Menterinya, V Sivakumar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang tidak menjaga kebajikan dan membayar gaji pekerja mereka.

Menurutnya, kementerian itu bersama agensinya melaksanakan operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur membabitkan pemeriksaan terhadap 480 majikan dengan anggaran 5,000 pekerja tempatan.

"Tujuan sebenar operasi ini untuk memastikan semua pekerja di pasar borong tidak menghadapi sebarang diskriminasi oleh majikan," katanya pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini menerima beberapa aduan terdapat pekerja tidak diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Masalah ini cukup serius kerana kita mahu memastikan setiap pekerja mendapat caruman KWSP dan Perkeso melalui majikan masing-masing.

"Jika mereka tidak mendapat manfaat ini maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap majikan," katanya.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, dari Januari sehingga Oktober tahun ini, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan sejumlah 1,654 kertas siasatan merangkumi Akta Kerja 1955, Akta 446 dan juga Perintah Gaji Minimum 2022.

"Dari keseluruhan jumlah tersebut sebanyak 357 kertas siasatan dikenakan denda bernilai RM391,236 manakala sebanyak 775 kertas siasatan dikenakan kompaun bernilai RM3,958,500.

Tambah beliau, Kementerian Sumber Manusia bersama agensi di bawahnya akan terus melaksanakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Pihak di bawah Kementerian Sumber Manusia komited menjaga kebajikan pekerja dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang melalui Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 [Akta 446] serta Perintah Gaji Minimum 2022," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2023 @ 2:51pm
d