mutakhir

Majikan dikesan tak bayar gaji ikut Perintah Gaji Minimum

Oleh Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Tidak membayar gaji mengikut Perintah Gaji Minimum (PGM) antara pelanggaran dilakukan majikan yang dikesan ketika Operasi Penguatkuasaan Perburuhan Secara Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, selain tidak membayar gaji mengikut PGM, pemeriksaan terhadap 34 majikan mendapati beberapa majikan turut melakukan pelanggaran waktu kerja dan bayaran gaji secara tunai, bukan melalui bank.

"Pelanggaran di bawah Persatuan Keselamatan Sosial (Perkeso), ada majikan tidak mencarumkan pekerja. Di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pula, ada majikan tidak mengikut piawaian dalam pengendalian bahan kabait.

"Kementerian bersama jabatan dan agensi berkaitan akan terus mempergiatkan pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan selaras perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan," katanya dalam kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini.

Operasi yang dijalankan di pasar borong itu dilaksanakan KSM bersama oleh jabatan serta agensi di bawah kementerian itu, antaranya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), JKKP, Perkeso dan Human Resources Development Corporation (HRDC).

Operasi itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Seramai 68 pegawai penguat kuasa ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan dalam operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur itu.

Pasar Borong Kuala Lumpur menyediakan lot gerai kepada peniaga sayur, buah-buahan dan juga ikan membabitkan 480 majikan.

Disiarkan pada: November 15, 2023 @ 5:28pm
d