mutakhir

Pangkalan Data Sinergi Sosial tangani isu keciciran penerima bantuan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Isu keciciran penerima manfaat dan pertindihan penyaluran bantuan oleh pelbagai agensi kerajaan dijangka dapat ditangani menerusi Pangkalan Data Sinergi Sosial.

Pangkalan data itu akan menjadi hab terbaik dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia di fasa awal penubuhan dengan empat agensi dijangka bekerjasama menyalurkan maklumat penerima dari seluruh negara.

Beliau berkata, integrasi maklumat antara pelbagai agensi itu berupaya merungkai kelompangan yang wujud dalam mekanisme penyaluran bantuan.

"Buat masa ini Perkeso dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkongsi maklumat dalam pangkalan data itu bagi memastikan tiada penerima tercicir di saat mereka memerlukan ihsan daripada pihak berkaitan.

"Mengorak langkah seterusnya, pangkalan data itu akan membabitkan perkongsian maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk daftar e-Kasih dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres Social Synergy 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Azman berkata, sebanyak 24,035 penyaluran kepada agensi melalui Sistem MySynergy dilaksanakan dengan 9,762 prospek menerima manfaat dan berjaya dibantu sejak Februari 2019 hingga Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, pengukuran kadar kejayaan penerima manfaat menerusi sistem terbabit dalam tempoh sehari adalah 43 peratus, malah sistem itu diyakini berupaya ditingkatkan.

"Saya percaya, kadar kejayaan ini mampu ditingkatkan bersandarkan pertambahan jumlah rakan agensi yang bernaung dalam Sistem MySynergy," katanya.

Kongres Social Synergy dihadiri lebih 250 perwakilan dari 35 agensi rakan sinergi.

Selain itu, 15 agensi pemerhati turut menyaksikan resolusi dirangka hasil pembentangan kertas cadangan daripada enam agensi iaitu ICU; JKM; Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK); Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Turut berlangsung pada majlis berkenaan adalah penyampaian sijil 'Productivity Champion' oleh MPC kepada 33 agensi di dalam Program Social Synergy.

Disiarkan pada: November 15, 2023 @ 6:36pm
d