mutakhir

Operator kren menara meninggal di ketinggian hampir 20m

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Operator kren menara ditemukan meninggal dunia dalam kabin jentera itu di tapak pembinaan dekat Persiaran KLCC di sini, petang ini.

Lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan tidak sedarkan diri sebelum rakan sekerja meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur bagi menurunkan mangsa yang berada pada ketinggian hampir 20 meter (m).

Komander Operasi Kanan JBPM Mior Muhammad Fikri Mohd Zaini berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM menerima panggilan pada 5.43 petang.

Menurutnya, jentera dengan kekuatan 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi pada 5.50 petang, pasukan mendapati mangsa yang bekerja sebagai operator kren menara tidak sedarkan diri di dalam kabin.

"Pemeriksaan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa turun menggunakan bantuan kren menara bersebelahan pada 7.46 malam dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: November 16, 2023 @ 9:20pm
d