mutakhir

KKM jamin bentang RUU berkaitan GEG sebelum sesi Parlimen berakhir

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan komitmen untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai generasi penamat (GEG) di Parlimen dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau memberi jaminan bacaan kali kedua RUU berkenaan akan dibentangkan sebelum berakhirnya sidang Parlimen pada 30 November ini.

"Insya-Allah saya bagi jaminan RUU itu akan kita bentangkan sebelum berakhirnya sesi parlimen pada kali ini," katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan jabatan itu sudah memberi pandangan secara konsisten sejak 2022 bahawa peruntukan berkaitan GEG boleh dicabar di mahkamah, Dr Zaliha bagaimanapun enggan mengulas.

Semalam, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilaporkan berkata, peruntukan itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.

AGC merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang disiarkan di media yang mendakwa terdapat dua menteri menyekat RUU yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas 2007 diharamkan untuk membeli atau mengambil produk nikotin.

Khairy melalui hantaran di Instagram turut meluahkan kekecewaan kerana Kabinet memutuskan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada RUU terbabit.

Disiarkan pada: November 19, 2023 @ 2:55pm
d