mutakhir

Cuti bencana dicadang kepada sekolah terbabit banjir

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) meminta pengurusan sekolah yang terbabit dengan bencana banjir memohon cuti bencana.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNT, Azman Othman @ Abdullah berkata, cuti ini juga akan dipertimbangkan kepada pengurusan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, pengurusan sekolah yang bilik darjahnya banyak digunakan untuk menempatkan mangsa banjir boleh dipertimbangkan untuk mengambil cuti itu.

"Kita sudah meminta semua pengurusan sekolah, terutama yang terbabit dengan banjir, memohon cuti bencana.

"Cuti bencana kepada pengurusan sekolah yang terpaksa ditutup disebabkan laluan dinaiki air semakin bertambah, berbanding hanya lima sekolah, semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan negeri berkata, 13 sekolah termasuk di daerah Kuala Terengganu, Dungun, Besut dan Kuala Nerus terpaksa ditutup selepas laluan dinaiki air hari ini.

Katanya, antara sekolah yang ditutup di daerah Kuala Terengganu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh dan SK Losong.

"Sekolah lain yang terpaksa ditutup adalah SK Kampung Bukit, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SMK Sultan Mansor, SK Bukit Bayas dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Sheikh Abdul Malek.

"Sekolah di daerah Besut yang ditutup adalah SK Bukit Puteri dan SMK Padang Kemunting (Kuala Nerus), manakala di Dungun, SMK Intan Zaharah," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2023 @ 9:03am
d