mutakhir

7 laporan berkaitan wanita Kemboja dakwa orang Melayu 'malas'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Polis Kontinjen Melaka menerima tujuh laporan polis berhubung video tular seorang wanita warga Kemboja yang juga pemilik sebuah perniagaan di Johor Bahru, Johor mendakwa orang Melayu malas, baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, laporan itu diterima pada 19 November lalu di Balai Polis Bandar Hilir, Balai Polis Kandang di daerah Melaka Tengah dan Balai Polis Merlimau, Jasin, daripada pelbagai pihak yang terkesan dengan rakaman tular di media sosial berdurasi satu minit tujuh saat itu.

Menurutnya, pihaknya mengesan video itu pada Ahad lalu yang memaparkan seorang wanita Kemboja mengeluarkan kata-kata menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dengan mengatakan 'Melayu malas' yang dimuat naik pemilik akaun media sosial TikTok, menerusi dua pautan.

Katanya, sehingga kini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 14 laporan berkaitan yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk tujuh di Melaka.

"Jabatan Siasatan Jenayah Melaka membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan sesuatu kaum.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan berharap orang ramai lebih bijak serta bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial supaya tidak menyentuh isu sensitif membabitkan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan seorang wanita sedang mengadakan penstriman langsung di dalam sebuah gedung pakaian Muslimah.

Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun, di akhir rakaman video berkenaan wanita itu menyatakan dia hanya bergurau dan memohon maaf.

Disiarkan pada: November 21, 2023 @ 10:19am
d