mutakhir

Anwar: Coldplay sokong Palestin

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berhubungan penganjuran konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur esok, berikutan wujud gesaan segelintir pihak supaya konsert itu dibatalkan.

Perdana Menteri berkata, wujud juga pertikaian daripada pelobi berhubung gesaan itu kerana Coldplay dikatakan antara kumpulan yang menyokong Palestin.

"Saya akan berbincang dengan mufti kerana ada pelobi-pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) dan kepada pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

"Oleh kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita bersetuju, itu saya akan bincang semula," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai apakah pendirian kerajaan mengenai penganjuran konsert Coldplay susulan kenyataan dikeluarkan oleh Luqman sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar tidak memperincikan garis masa perbincangannya dengan Luqman mengenai konsert berkenaan.

Baru-baru ini, Luqman dilaporkan menggesa penganjur membatalkan konsert kumpulan dari United Kingdom (UK) itu yang dijadualkan berlangsung esok.

Katanya, acara itu bukan sahaja melalaikan bahkan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negara ini.

Disiarkan pada: November 21, 2023 @ 11:42am
d