mutakhir

'Scammer' semakin berani

Oleh Suhanna Iskandar dan Nur Elysa Amirah Suhaimi

Kuala Lumpur: Sindiket penipuan dalam talian didapati semakin berani apabila menggunakan kaedah terkini menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp untuk memperdayakan mangsa.

Pekerja swasta, Tan Lee Hui, 44, berkata dia percaya 'scammer' menggunakan pelbagai taktik untuk memperdayakan mangsa termasuk cara terbaru seperti panggilan video.

Menurutnya, dia dimaklumkan penggunaan kaedah berkenaan oleh rakannya yang mendakwa seperti diperangkap apabila menjawab panggilan terbabit.

Katanya, dia sendiri menukar nombor telefon sebanyak tiga kali dalam setahun kerana bimbang akan menjadi mangsa scammer.

"Pada 2022, saya pernah menerima panggilan telefon yang pelik, awalnya cuma seminggu sekali atau dua kali sahaja.

"Makin lama, panggilan berkenaan semakin kerap dan kawan sekeliling saya juga hampir ditipu apabila satu grup WhatsApp diwujudkan dan menyangka saya yang menjemput (invite) mereka ke dalam grup itu.

"Ketika itu, semua rakan menghubungi saya kerana pelik saya mengajak mereka menghantar nombor akaun ke emel yang diberikan, sedangkan tidak berbuat demikian," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sebagai langkah berhati-hati, dia kini tidak menjawab panggilan yang tidak dikenali.

"'Scammer' ini semakin berleluasa dan saya bimbang bagaimana boleh berlaku kebocoran data kita," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Siti Sarah Abdullah, 24, berkata dia pernah mendapat panggilan dari nombor tidak dikenali sekurang-kurangnya dua kali sehari.

"Saya mendapat panggilan dari nombor tidak dikenali dan memaklumkan bahawa saya mempunyai barang tidak dituntut. Individu itu turut meminta nombor kad pengenalan dan akaun bank peribadi.

"Tetapi saya tidak melayannya lalu terus tutup panggilan kerana saya tiada membuat pembelian dalam talian pada waktu itu," katanya yang menggunakan aplikasi tertentu bagi memastikan sama ada nombor itu benar atau tidak.

Disiarkan pada: November 21, 2023 @ 3:15pm
d