mutakhir

Kes kencing merata di pusat beli belah, rupanya warga Australia

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seorang lelaki warga Australia didenda RM100 selepas mengaku bersalah membuang air kecil pada tiang kawasan parkir sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya pada 16 November lalu.

Tertuduh, Chih Peter, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu di Mahkamah Majistret di sini, tadi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkelakuan kurang sopan dengan membuang air kecil di tempat awam pada jam 10.51 malam.

Justeru, tertuduh yang tiba dari Australia pada 13 November lalu untuk menziarahi saudaranya dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda maksimum RM100.

Terdahulu, peguam tertuduh, R Morhaneraj memaklumkan bahawa tertuduh terdesak untuk membuang air kecil di kawasan parkir kerana tidak dapat menahan untuk pergi ke tandas ketika kejadian.

"Bagaimanapun, anak guam saya tidak menyedari kejadian itu dirakam. Bagaimanapun tertuduh sudah mendapat pengajaran dan tidak akan mengulangi perkara itu di masa akan datang," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dan tertuduh juga perlu menjaga adab ketika berada di negara orang.

Majistret kemudian menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara selama sehari jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda itu.

Disiarkan pada: November 22, 2023 @ 3:07pm
d